Pembukaan dan Perasmian Jambatan Pegagau Semporna

Jambatan Pegagau merupakan antara infrastruktur terawal yang memainkan peranan penting dalam pembangunan di Semporna.

Sebelum pembinaannya, Sungai Pegagau menjadi pemisah utama antara kawasan pekan Semporna dan juga tanah besar (daerah lain di Sabah). 


Sungai Pegagau merupakan sebuah sungai yang unik kerana hulu dan muaranya keduanya dipengaruhi oleh laut. 

Secara tidak langsung, alirannya kelihatan memisahkan daerah Semporna kepada dua bahagian iaitu sebelah semenanjung (menempatkan perkampungan dan pekan semporna) manakala yang satu lagi terhubung terus dengan tanah besar Sabah (Jalan kalumpang yang menuju ke Tawau dan Kunak)

Untuk lebih mudah faham boleh rujuk gambaran geografi bentuk alur Sungai Pegagau di sini Peta Sungai Pegagau.

Datuk Peter Lo, Ketua Menteri Sabah membuka jambatan Pegagau ke Semporna

Pasukan Polis Hutan Sabah berbaris di jambatan baru di Pegagau, dekat Semporna. Ketua Menteri Sabah Datuk Peter Lo merasmikan pembukaan jambatan tersebut
  pada awal tahun 1965

Dari segi sejarah, jambatan ini telah dibuka sekitar awal tahun 1960an dan kemudiannya dirasmikan oleh Tan Sri Datuk Peter Lo yang ketika itu merupakan Ketua Menteri Sabah ke-2 pada tahun 1965.

Upacara perasmian tersebut disaksikan oleh pasukan Polis Hutan Sabah yang berbaris di jambatan baru tersebut, menandakan kepentingannya dalam aspek keselamatan dan pengangkutan.

Jambatan Pegagau awalnya dibina menggunakan kayu

Pada waktu dulu sebelum jambatan ini dibina, penduduk dan masyarakat tempatan terpaksa meredah sungai pegagau menggunakan perahu atau menggunakan kapal dan feri melalui laluan laut jika ingin berkunjung ke daerah-daerah lain sekitar Sabah.

Dari aspek keselamatan dan kecemasan, jambatan ini sangat penting kerana Semporna berada berhampiran zon sensitif iaitu laluan laut antarabangsa (kawasan jenayah rentas sempadan) dalam situasi kecemasan ia memudahkan bantuan daripada pihak keselamatan untuk sebarang kejadian darurat.

Sehingga hari ini juga, para pesakit dari Semporna akan di hantar ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan bagi kes yang kritikal dan perlu melalui jambatan ini kerana ia adalah satu-satunya laluan penghubung dari darat Semporna ke Tawau.


Kini kenderaan seperti kereta, lori, bas dan kenderaan darat lain lebih mudah untuk bergerak secara tidak langsung memicu perkembangan ekonomi serta pembangunan di Semporna.

Jambatan ini juga merupakan infrastruktur yang menyokong sektor pelancongan di Semporna apabila 99% pelancong yang tiba dari lapangan terbang Tawau akan melalui jambatan ini untuk ke Semporna.

Jambatan ini tanpa kita sedari adalah sebuah laluan menghubungkan peluang dan masa depan, simbol transformasi yang banyak berbakti dalam perkembangan Daerah Semporna.
Terbaru Lebih lama